Sudah agak lama aku tidak menyumbangkan sebarang idea mahupun karya. Kurangnya masa mungkin boleh aku jadikan alasan walaupun semua orang mendapat masa yang sama iaitu 24jam!
Perkataan pertama kali....
Merujuk kepada ucapan, perbuatan, tanggapan dan segala macam perkara yang kita tidak pernah lakukan sebelum ianya dilakukan.
Pertama kali aku makan babat (perut lembu) dengan penuh rasa keinginan untuk makan adalah pada usia aku mencecah hampir 30 tahun. Walaupun bukanlah sesuatu yang amat sedap tapi sehingga hari ini aku masih boleh makan babat dengan berselera terutamanya jika dicicah dengan pencicah (campuran air rebusan babat, perahan limau nipis dan sambal/cili api yang ditumbuk). Mak dan kakak aku (Kak Lah) antara individu yang hebat membuat pencicah. Kenikmatan ini hanya diperolehi dengan sebab adanya pertama kali...sekarang dah berkali-kali.
Pertama kali...
Kerana simpati dan berkeinginan agar berlaku perubahan aku dengan tanpa segan memohon keampuan dan memohon diberi bantuan kepadaku dan manusia lain yang dinyatakan secara detail di dalam doa antara dua khutbah hari Jumaat. Itu pertama kali dilakukan untuk manusia tersebut...namun selepas itu aku sering melakukannya...kerana pertama kali sekarang dah jadi banyak kali.
Apa salahnya.
Kita memohon yang baik dari Allah. Semoga dimakbulkan.
Pertama kali...
Ada yang tidak begitu gembira dengan perlakuan aku yang suka menyenangkan manusia-manusia yang lain. Mungkin dilihat keterlaluan. Inilah antara kesukaran bila melakukan sesuatu pertama kali, ia sukar dilupakan begitu sahaja. Seperti jatuh cinta untuk pertama kali. Cuma mungkin kadang-kadang kita tertipu dengan mainan perasaan sendiri, kita sebenarnya lebih mudah jatuh suka, namun kita sering mengatakan yang kita telah jatuh cinta. Jika anda merasakan anda bukan berada pada tahap kekebalan yang boleh mempertahankan perinsip kehidupan anda, aku ingin mengatakan: lebih baik anda jangan melakukan perkara yang tidak pernah anda lakukan...maksudnya baru pertama kali. Anda akan menghadapi kesukaran pada diri anda sendiri dan juga memberi impak kepada manusia-manusia lain di sekitar kitaran anda.
Pertama kali...
Aku terjebak dengan mainan perasaan. Antara yang kadang-kadang menjelma di minda...H, S, L, A, R, N, SS...ini terjadi kerana ianya berlaku perkara-perkara pertama kali. Pertama kali merasa diri diingati dan dirindui...sebenarnya aku sendiri pun menghadapi perasaan dan keinginan yang sama. Walaupun tahu kelemahan sendiri namun pada pandangan rakan-rakan kelemahan itu adalah kelebihan aku. Malah ramai yang cuba mengorek rahsia bagaimana aku mendapat kelebihan itu. Hahahaha...aku sering gelak apabila ada yang bertanya, dengan rendah hati aku mengatakan itu bukan kelebihan malah lebih kepada kekurangan kerana ia boleh mengundang pelbagai andaian dan mainan perasaan.
Anda mungkin gembira jika kewujudan anda disenangi dan disukai, namun anda akan cepat terasa jika ada sesetengah manusia di dalam satu kelompok manusia tidak menyukai kehadiran atau kewujudan anda. Ia boleh menjadi satu cabaran seterusnya meningkatkan usaha anda untuk menyenagi sesetengah manusia itu tadi..seperti yang sering berlaku, usaha tangga kejayaan. Dan anda berjaya memenangi hati sesetengah manusia tadi. Maka di sini timbul keadaan pertama kali kepada sesetengah manusia tadi! Konflik jiwa akan bermula kembali dalam sejarah kehidupan anda! Ia bukan pertama kali anda menghadapi situasi sebegini. Jadi sentiasalah muhasabah diri, apa yang dicari dan atas tujuan apa ia dicari.
Pertama kali...
Adalah sesuatu yang indah untuk pertama kali...ianya tetap akan indah jika dilakukan berkali-kali. Namun jika perkara yang tidak baik dilakukan pertama kali. Cukuplah sekali...jangan diulangi kerana ia jadi semakin tidak salah jika sering dilakukan berkali-kali.
Bila ini berlaku, tiada lagi seri dan keindahan PERTAMA KALI..